google.com, pub-5269643150766193, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Madinah : Raudhah asy-Syarifah

Madinah : Raudhah asy-Syarifah





 RAUDHAH



" Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga"
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Raudhah di dalam bahasa Melayu bermaksud taman. Ia terletak di antara rumah Rasulullah s.a.w. (Hujrah Aisyah) di sebelah timur dan mimbar Masjid Nabawi di sebelah barat. Dengan keluasan 22 meter panjang (diukur dari timur ke barat) dan 15 meter lebar (diukur dari selatan (mihrab). Namun keluasan Raudhah di bahagian timur telah dikecilkan kerana sebahagian daripadanya telah dimasukkan ke dalam kawasan pagar hujurat semasa pembesaran dan pemuliharaan masjid.

Di kanan Raudhah terdapat makam Rasulullah s.a.w dan sahabat karib bagunda iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab yang juga perlu diziarahi bagi yang mampu.

Kelebihan/fungsi Raudhah pada zaman Rasulullah s.a.w :
- menjadi tempat beribadat yang utama dalam masjid Nabawi buat baginda dan para sahabat
- salah satu tempat turunnya wahyu
- tempat majlis ilmu


Lampu (siling) di Raudhah

Tanda-tanda anda sudah berada di Raudhah 
Pertama kali saya menjejaki kawasan Raudhah semasa menunaikan umrah, saya tertanya-tanya. Yang mana satu dikatakan Raudhah? Jemaah terlalu ramai. Perlu menunggu giliran. Duduk bersama rumpun Melayu sebelum di arahkan ke hadapan, menuju kawasan Raudhah. 

Alhamdulillah rakan sebilik saya sudah berpengalaman menunaikan haji dan umrah. Dia memberi sedikit penerangan sambil menunggu giliran.

Tanda-tanda anda sudah berada di Raudhah ialah :
- Hamparan/karpet berwarna hijau (tempat lain berwarna merah) - pastikan juga anda berada di tian
  emas
- Karpet di Raudhah berbau wangi dan sangat harum
- Tiangnya ditutupi marmar berwarna putih dan di atasnya ada corak macam kelopak bunga 
   keemasan
- Lampu di siling di Raudhah berbeza dengan yang lain (sila lihat gambar di atas)


Waktu Ziarah Raudhah :
Lelaki  :  Sepanjang masa masjid dibuka
Perempuan : Jumaat (7 - 10 pagi) dan  (2 - 3.00 petang)
                     Sabtu - Khamis (7 - 11 pagi) dan 1.30-3.00ptg)


# Sila peka dengan perubahan waktu ziarah bagi wanita. Boleh tanya agensi umrah, TH atau  tanya penjaga masjid. Sebut saja Raudhah atau ziarah..mereka akan beritahu nombor pintu yang boleh masuk ke Raudhah dan pukul berapa (lebih baik jika anda boleh belajar sikit-sikit nombor dalam bahasa Arab). Biasanya tiada masalah jika ikut arahan Tabung Haji dan niat dengan ikhlas untuk ziarah makam Rasulullah s.a.w. Allah akan memudahkan urusan ...Insya Allah.



Raudhah kawasan lelaki  (Lelaki - ar-Rijal)


Raudhah kawasan wanita (Perempuan - an-Nisa')

Kawasan karpet merah di atas bukan Raudhah. Ketika kami ke sini untuk Ziarah Dalam pada 30/09/2011 bermula dari 7.00 am dibawa oleh ustazah petugas TH, jemaah belum ramai lagi memandangkan kami dari KT2... baru 2 penerbangan Malaysia yang tiba di Madinah. Jemaah negara lain pun tidak ramai lagi. Boleh masuk dengan mudah tanpa berasak-asak dan solat beberapa kali pada satu-satu masa. Petugas masjid pun tidaklah bising sangat. Biasanya mereka akan memberikan arahan..."Khalas ya hajjah! Keluar! Keluar! (Khalas bermaksud sudah). Kemudian kami  ke belakang semula (di karpet merah tu) untuk solat sunat lain-lain dan membaca al-quran.

Dulu, kali pertama ke sini untuk umrah..keadaanya sangat mencabar mental dan fizikal. Berasak-asak untuk memijak karpet hijau. Dah pijak..yang tak boleh solat pun ada..sebab orang ramai sangat..rapat-rapat. Boleh sesak nafas. Kalau solat tak boleh rukuk..apatah lagi sujud. Hanya mengharapkan bantuan-Nya agar dapat solat sekadar dua rakaat di sini. banyakkan membaca "Allahumma yassir wa la tu'assir" (Ya Allah mudahkanlah urusan kami dan janganlah disusahkan)




Papan tanda ini menasihati jemaah agar tidak berebut-rebut

Selepas papan tanda di atas, tiang yang ada kelopak bunga emas tu..baru Raudhah. Kawasan Raudhah wanita agak terhad...dengan masa yang terhad berbanding kaum lelaki boleh mengunjunginya bila-bila masa dan terus iktikaf di situ..duduk lama-lama.


Amalan-amalan di Raudhah :
- Solat sunat mutlak dua rakaat (jika sempat.. solat lain seperti solat hajat/taubat dll)
  (Lafaz niat : Sahaja aku solat sunat dua rakaat kerana Allah Ta'ala)
- Berdoa..terutamanya pada sujud terakhir. Tempat ini mustajab doa.
- Doa khas di Raudhah
- Memberi salam di makam Rasulullah s.a.w dengan tenang
- Menyampaikan salam yang dikirim oleh sahabat handai kepada Rasulullah
- Memberi salam di makam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar
   (Kini sukar untuk wanita menziarahi makam Rasulullah & sahabat. Oleh itu, membaca/memberi
    salam di sini pun memadai)
- Membaca al-Quran
- Berzikir
- Berselawat ke atas Nabi Muhammad sebanyak mungkin


Cara masuk Raudhah (wanita) :
- Masuk ikut pintu yang ditetapkan
- Pada waktu yang ditetapkan
- Bawa selipar sekali atau letak di rak yang sesuai (ingat nombor rak). Ketika solat jangan bawa
  selipar sekali di badan, bimbang ada najis.
- Diarahkan berkumpul menunggu giliran. Jemaah Malaysia & Asia Tenggara tidak bercampur 
  dengan jemaah lain kerana mereka agak agresif.
- Sementara menunggu dibenarkan masuk, boleh baca doa-doa yang patut. Bila dah berasak-asak 
  takut tak sempat. Nak buka buku pun susah. Ini masa jemaah ramai lah.
- Sentiasa bersama rakan/ahli keluarga
- Masuk apabila diarahkan dengan penuh sopan, tawadhuk di hadapan makam Rasulullah dan bertawakkal kepada Allah.


Sesungguhya kita tidak mampu untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w...Maka menziarahi makamnya adalah sebagai ganti. Pastinya berlinangan air mata ketika memberi salam kepada baginda...seolah-olah sedang berbicara dan berhadapan dengan baginda..dan baginda mendengarnya. Bacalah doa/salam dalam bahasa Melayu agar mudah difahami dan dihayati.




Sketsa

Tipah menyapa Gayah di perkarangan hotel, " Gayah, engkau dapat solat kat Raudhah tak tadi?"
Gayah menjawab dengan sugul dan linangan air mata, " tak dapatlah. Aku dah masuk karpet hijau tu. Orang tolak-tolak. Dah dekat depan tu..petugas masjid dah suruh keluar. Esok dah nak ke Mekah. Entah bila pulak aku nak ke Madinah lagi".
Dengan rasa bangga Tipah berkata " aku dapat dua kali..tu lah engkau..banyak dosa agaknya".

Kesimpulan : 
Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jika diberi kemudahan oleh Allah..banyakkan bersyukur. Jangan sekali-kali sombong dan bangga diri apatah lagi hingga menyinggung atau menyakiti hati orang lain samada dari segi pertuturan atau perbuatan. Itu mungkin ujian samada kita tergolong dalam hamba-Nya yang bersyukur atau tidak. 

Jika diuji dengan kesusahan, redha, muhasabah diri dan banyakkan memohon keampunan dari-Nya. Itu adalah ujian samada kita tabah dan redha atau tidak. Allah mengurniakan ganjaran yang sangat besar kepada umatnya yang tabah mengharungi dugaan dan rintangan di Madinah. Kesenangan dan kesusahan adalah ujian. Carilah haji mabrur bermula dari di Madinah ..(atau dari tanah air lagi).

1 Comments

  1. Bagus info ni. Tksh atas perkongsian. Mohon share ye. Tksh

    ReplyDelete
Previous Post Next Post