google.com, pub-5269643150766193, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Madinah : Masjid Nabawi

Madinah : Masjid Nabawi




30/09/2011 - Jumaat
Menerjah dingin pagi bersama suami... seawal pukul  3.00am sudah menuju ke masjid an-Nabawi dengan penuh syahdu kembali menemui Rasulullah (masjid Nabi) yang diziarahi tahun lalu. Selamat Bertemu kembali. Masjid agak lengang..boleh pilih tempat iktikaf di mana-mana yang selesa dan privacy. Semoga waktu yang singkat di sini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meraih sebanyak mungkin kebaikan-kebaikan dan fadilat di Madinah Al-Munawwarah.

Tamat solat subuh 5.30am kami mencari-cari tempat untuk bersarapan pagi. TH hanya menyediakan makan tengah hari dan makan malam sahaja. Akhirnya kami temui kedai kebab..berharga 3 riyal manakala air teh/kopi 2 riyal. Yang uniknya, air teh o yang ditambah dengan daun pudina di sini sangat sedap, harum dan segar ..menu ini jadi ikutan setelah kembali ke tanah air.

Beratur beli kebab selepas solat subuh


Semua jemaah Maktab 87 perlu berkumpul di lobi hotel tepat pukul 7.00am untuk aktiviti "Ziarah Dalam" dengan dipimpin oleh jurupandu. Kawasan yang diziarahi adalah meliputi :
(i)     Masjid Nabawi
(ii)    Maqam Rasulullah s.a.w.
(iii)   Maqam Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar Al-Khattab r.a.
(iv)   Ar-Raudhah
(v)    Perkuburan Al-Baqi'


Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah

Galakan menziarahi Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi  Dan Masjid al-Aqsa

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. di mana baginda telah bersabda :
"Tidak ditujui oleh sesuatu perjalanan dengan maksud berziarah (atau menunaikan nazar) melainkan di tiga buah masjid : masjidku ini, masjid al-Haram dan masjid al-Aqsa".
( Hadis : Al-Bukhari dan Muslim)


Fadhilat Masjid An-Nabawi

"Pahala solat di masjidku ini adalah seribu kali lebih baik daripada solat di masjid-masjid lain kecuali masjidil haram" (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

"Sesiapa bersolat 40 waktu di masjidku tanpa meninggalkan satu solat pun, maka ditulis untuknya keselamatan daripada api neraka, keselamatan daripada azabnya dan terlepas nifaq (sifat munafik)". (Hadis Riwayat Ahmad Dan At-Tabrani)


Terdapat 41 pintu (pintu dalam bahasa Arab disebut "bab") di sekeliling masjid. Pintu-pintu ini ada nombor dan nama tersendiri. Terdapat juga pintu  untuk ke tingkat atas masjid. Tempat solat wanita dan lelaki diasingkan. Pintu yang dikhaskan untuk wanita ialah seperti Pintu 24, 25 & 29 dan Pintu 13 & 17. Kalau tidak pasti..ikut sahaja jemaah wanita masuk. Betul lah tu. 

Sabar ya hajjah! Sabar ya hajjah!
Inilah di antara dialog yang biasa kedengaran di pintu masuk masjid ketika para jemaah berebut di pintu masuk. Penjaga pintu wanita yang berkelubung hitam akan memeriksa beg para jemaah agar tiada barang terlarang dibawa masuk seperti kamera, telefon bimbit, pisau, makanan (kurma dibenarkan) dan air (botol kosong boleh). Jika ditemui barang terlarang, ia akan diambil atau anda perlu solat di luar masjid. Kalau nak juga bawa telefon kenalah sorok-sorok sikit ye..

Jangan lupa bawa plastik untuk isi kasut/selipar. Boleh letak di rak kasut atau bawa dan letak di depan tempat solat / iktikaf  supaya lebih yakin..tidak hilang. Insya Allah.

Sebaik sahaja masuk masjid, eloklah minum air zamzam dulu untuk memberi tenaga dan membasahkan tekak. Begitu juga sebelum keluar dari masjid. Kami ambil kesempatan isi air zamzam dalam botol untuk diminum di hotel nanti.

Ibu ...ke depan! Ya ibu... adab!
Jangan terkejut..mereka guna bahasa Melayu. Mungkin mereka hanya tahu frasa tersebut..atau lebih. Ini adalah suara-suara penjaga masjid yang menyuruh jemaah rumpun melayu (biasanya yang pakai telekung hanya jemaah Malaysia, Indonesia, Thailand dan nusantara sahaja) agar memenuhkan saf atau ke depan.

Alhamdulillah..hari ini dapat menunaikan solat Jumaat di Masjid Nabawi buat pertama kali. Khutbahnya dalam bahasa Arab fus ha (standard) yang lebih mudah difahami. Mengandungi banyak maklumat dan informasi yang di antaranya ada menceritakan tentang ibadat haji.

Dalam Masjid Nabawi - air zamzam di bahagian belakang




Sebahagian bumbung masjid dibuka mulai waktu dhuha
Pada waktu subuh lampu dipasang di seluruh masjid. Tiba waktu syuruk sebahagian lampu dipadamkan. Waktu dhuha pula, semua lampu dipadam dan sebahagian bumbung dibuka seperti dalam gambar di atas.

Kemudian sebahagian besar karpet akan dikemas/digulung dan al-Quran disusun oleh para petugas masjid yang kebanyakannya saya perhatikan adalah rakyat Indonesia.


Alat pendingin hawa di tiang masjid




                     
Di antara pintu-pintu masjid





Payung di sekitar masjid an-Nabawi sedang dicuci


Payung ditutup menjelang waktu malam yang agak nyaman

Payung di sekitar masjid dibuka untuk menahan panahan kepanasan mentari


Tazkirah

" Bagi orang-orang yang beriman! Madinah adalah tempat yang terbaik. Andai mereka mengetahui betul-betul tentang kelebihannya, pasti mereka tidak akan meninggalkannya. Dan sesiapa yang keluar dari Madinah kerana tidak terpesona dengannya, maka Allah akan menghantar seorang lain yang lebih baikdaripadanya untuk menggantikannya. Dan barangsiapa menanggung sabar di atas kesukaran tinggal di Madinah, maka aku akan menjadi saksi dan penjamin (syafaat) kepadanya di hari kiamat".
(Hadis riwayat Muslim)


Previous Post Next Post